suria

Gunakan Media Sosial Untuk Kebaikan - Salleh

Dr Salleh Said Keruak.

KOTA KINABALU: Rakyat negara ini diminta lebih berhati-hati dan bijak menggunakan media sosial dengan memanfaatkannya hanya untuk perkara kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat Malaysia tidak harus menyalah gunakan kemudahan itu untuk perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat di negara ini.

"Media sosial satu keperluan kepada masyarakat. Banyak urusan menggunakan media sosial. Jadi bukan semua perkara dalam media sosial itu buruk. Yang penting, sebagai pengguna kita harus menggunakan media sosial ini untuk kebaikan dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat," katanya.

Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama bertajuk 'Peranan Penjawat Awam Dalam Penyebaran Maklumat Melalui Media Sosial' di hadapan penjawat awam persekutuan di Kompleks Pentadbiran Persekutuan, di sini Selasa.

Salleh berkata Malaysia mengambil pendirian tidak menyekat penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat di negara ini seperti diamalkan di beberapa negara, termasuk negara kuasa besar atas kesedaran media sosial banyak kebaikan dan perlu dilihat dari sudut positifnya.

Beliau berkata dengan menyekat penggunaan media sosial, ia akan menjejaskan daya saing Malaysia di peringkat global, sekali gus boleh membantutkan usaha Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju.

"Malaysia ingin menuju sebagai negara maju dan kita juga berjanji kepada dunia, kita adalah sebuah negara yang tidak akan menyekat perkembangan teknologi seperti ini (media sosial).

"Tetapi, ini tidak bererti mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan media sosial, undang-undang tidak akan digunakan (ke atas mereka)," katanya.

Bagi pihak kerajaan, Salleh berkata kementeriannya akan terus mendidik rakyat Malaysia mengenai kebaikan media sosial serta pentingnya medium komunikasi itu digunakan sebaik-baiknya.

Terdahulu dalam ucap utamanya, Salleh mengingatkan penjawat awam persekutuan di Sabah agar menggunakan media sosial secara lebih bertanggungjawab, dan untuk membantu mereka meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada masyarakat.

Beliau berkata media sosial harus digunakan untuk menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat serta memperoleh maklum balas daripada mereka bagi membolehkan tindakan pantas dapat ambil bagi menyelesaikan sebarang masalah.

"Dunia sekarang tidak lagi seperti dahulu. Penjawat awam tidak boleh lari daripada media sosial. Saya harap, gunakan sebaik-baiknya media sosial ini. Bukannya untuk terlibat dalam viral benda yang tidak ada kesahihannya. Kita jangan terlibat dalam perkara sedemikian," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain