suria

Pelakon Australia Diburu Bantu Siasatan Kes Bawa Lari Anak

Eliza mendukung anak lelakinya.

KUALA LUMPUR: Pihak polis sedang mengesan seorang pelakon wanita Australia Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya Ashley Crick di sini Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata wanita itu berjanji untuk hadir ke balai polis untuk memberi keterangan pada Isnin, namun sehingga hari ini dia tidak hadir.

"Dalam masa terdekat ini, kami akan mencari dia untuk membantu siasatan. Jangan lari atau bersembunyi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Kempen Pencegahan Jenayah dan Derma Darah di sini Selasa.

Law yakin wanita tersebut masih berada dalam negara ini dan meminta Suruhanjaya Tinggi Australia untuk turut membantu kes berkenaan.

Rabu lepas sebuah portal berita (The Malaysian Insider) memetik laporan The Sydney Morning Herald mengenai Szonert yang ditemani dua lelaki pergi ke sebuah restoran di sebuah pusat membeli-belah di sini untuk menemui Crick sebelum melarikan anak lelakinya.

Laporan itu menyebut Szonert datang ke Malaysia bersama anaknya untuk tinggal bersama Crick yang menetap dan bekerja di sini sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.

Menurut laporan akhbar Australia itu, Szonert difahamkan masih gagal pulang ke Australia bersama anak lelakinya kerana Crick dipercayai menyimpan pasport bekas isterinya itu.

Crick turut membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada malam kejadian. - BERNAMA


pelakon Australia, Eliza Szonert

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan