suria

Jalan Ditutup Di Lebuhraya Cheras-Kajang, Batu 11/Balakong

KUALA LUMPUR: Jalan di Lebuhraya Cheras-Kajang, menghala ke Kuala Lumpur dan Kajang, akan ditutup selama 14 malam bermula malam ini hingga 30 Disember, demikian menurut MMC Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd.

Syarikat itu dalam kenyataan pada Selasa berkata penutupan yang bermula pada pukul 11 malam hingga 6 pagi itu berikutan kerja-kerja mengecat tiang 55 - 57 SBG, lintasan khas untuk pembinaan Mass Rapid Transit (MRT).

Dua lorong akan dibuka untuk pengguna dari KL ke Kajang dan sebagai alternatif, pengguna boleh melalui jalan susur ke Bukit Dukung/Taman Koperasi Cuepacs dan menggunakan Jalan Cheras Lama untuk ke Kajang.

Penutupan melibatkan jalan sepanjang 400 meter dari KM18.2 hingga KM17.8 Lebuhraya Cheras-Kajang, pengguna dari Kajang menghala ke KL boleh menggunakan jalan susur ke Jalan Kampung Bukit Dukung dan belok ke kiri untuk memasuki semula Cheras-Kajang (Lebuhraya Grandsaga) menghala ke KL.

Sementara itu, jalan di Pekan Batu 11/Balakong akan ditutup selama 16 malam bermula esok hingga 31 Dis, antara 11 malam dan 5 pagi, atas sebab yang sama, kata kenyataan itu.

Semasa penutupan pada 16 hingga 23 Disember, pengguna dari Pekan Batu 11/Balakong menghala ke KL/Cheras dikehendaki belok ke kanan memasuki Lebuhraya Cheras-Kajang (arah ke Kajang) dan membuat pusingan U di persimpangan bertingkat Sungai Long.

"Sebagai alternatif, pengguna di Lebuhraya Cheras-Kajang boleh memilih untuk menggunakan laluan pusingan U di Bukit Dukung untuk kembali ke KL/Cheras," katanya.

Bagaimanapun, bermula 24 hingga 31 Disember, kedua-dua laluan paling kanan berdekatan persimpangan lampu isyarat di Pekan Batu 11/Balakong (menghala ke Kajang dan Balakong) akan ditutup kepada pengguna dan satu laluan akan dibuka untuk setiap arah.

Syarikat itu menambah, jalan di depan Stesen MRT Pekan Batu 11 di KM15.5 hingga KM17, Lebuhraya Cheras-Kajang akan ditutup sekejap-sekejap pada 18 hingga 31 Disember bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi.

"Semasa penutupan ini, pengguna dari Sungai Long/Kajang menghala ke Pekan Batu 11/Balakong boleh menggunakan Lebuhraya Cheras-Kajang sebelum membuat pusingan U di persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, dan belok ke kanan ke Pekan Batu 11/Balakong," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain