suria

'Ibu Ayam' Bersama 13 Pelacur Dicekup

KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 orang, termasuk sembilan wanita warga asing, yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di sebuah premis hiburan di Jalan Metro Pudu 1 di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Penolong Pengarah Unit Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/Kongsi Gelap (Stagg) Bukit Aman SAC Khairi Ahrasa berkata kesemua mereka, yang berusia 25 hingga 31 tahun, ditahan dalam operasi pada 1.15 pagi itu.

"Selain sembilan GRO, kita juga menahan dua lelaki dipercayai pekerja dan pengurus premis berkenaan serta dua wanita yang merupakan 'mummy' (ibu ayam).

"Kita turut memeriksa 12 pelanggan premis berkenaan selain merampas wang tunai sebanyak RM7,987 dan beberapa peralatan lain seperti mahkota dan kalung bunga," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis hiburan itu menawarkan perkhidmatan GRO dan wanita-wanita ini boleh dibawa keluar untuk melakukan hubungan seks atas permintaan pelanggan.

"Terdapat juga satu lokasi persembunyian GRO yang diubah suai di belakang pentas di premis berkenaan untuk memudahkan mereka melarikan diri.

"Kalung dan mahkota dipercayai digunakan sebagai tanda untuk membawa pulang GRO yang dilanggan," katanya.

Khairi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Sekyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.

Polis, Pudu, Stagg

Artikel Berikut

Artikel Lain