KUALA LUMPUR: Kakitangan Parlimen tidak membenarkan petugas media memasuki perkarangan bangunan itu ketika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang mendapatkan keterangan daripada Arul Kanda Kandasamy. Wartawan yang tiba di bangunan Parlimen di sini seawal pukul 8 pagi untuk membuat liputan sesi PAC bersama presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dimaklumkan pengawal bahawa mereka menerima arahan untuk tidak membenarkan mana-mana media memasuki premis tersebut pada Jumaat. Setakat pukul 8.40 pagi, salah seorang kakitangan Parlimen berkata tidak kurang daripada tujuh kereta yang dinaiki wartawan sudah beredar. Seorang pegawai yang terlibat dalam PAC pada Jumaat mengesahkan media tidak dibenarkan untuk membuat liputan sesi tersebut. Namun, katanya, pengamal media boleh menunggu di luar pagar bangunan itu. Beberapa pemberita sudah berada di luar pagar sejak pukul 8.45 pagi.