suria

Penduduk Tawau Turut Rasai Gegaran Gempa Di Kalimantan

KOTA KINABALU: Penduduk di Tawau dikejutkan dengan kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 6.2 skala Richter yang berlaku pada awal pagi Isnin.

Gegaran yang berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi berpusat di Tarakan, Indonesia, kira-kira 96 kilometer barat daya Tawau.

Seorang tetamu di sebuah hotel di Tawau, Adriana Mijoh berkata dia sedang tidur apabila terasa bangunan bergegar.

"Saya terjaga dari tidur dan segera mengejutkan suami sebelum bergegas keluar dari bilik hotel," kata ibu kepada tiga anak itu.

Adriana berkata bangunan berhampiran hotel tersebut dikosongkan menyebabkan jalan raya dipenuhi orang ramai.

Gegaran itu turut dirasai di Kota Kinabalu kira-kira pada waktu yang sama.

Seorang kakitangan dari sebuah hospital di sini berkata dia sedang bertugas dan berasa pening.

"Saya fikir saya pening akibat keletihan tetapi tiba-tiba telefon bimbit saya menerima banyak mesej mengenai berita gegaran tersebut," katanya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau berkata mereka menghantar pasukan untuk memeriksa kerosakan dan memantau keadaan sekitar daerah itu susulan gempa bumi kuat itu.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan setakat ini.

Terdahulu, Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa bumi kuat melanda kawasan timur laut Kalimantan, Indonesia, kira-kira 34 kilometer utara bandar Tarakan pada kedalaman 22 kilometer.

Menurut USGS, tiada laporan kerosakan atau kematian di Indonesia susulan gempa bumi berkenaan. 


gempa bumi, Tawau, Kalimantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain