CHIANG MAI: Tapak kemalangan di Lebuhraya 118 dari Chiang Rai ke Chiang Mai adalah mengerikan. Hanya dengan melihat bangkai di dalam gaung di daerah Doi Saket di sini, ia seolah-olah dapat menceritakan sebuah kisah menakutkan apa yang telah dilalui penumpang yang terbabit dalam kemalangan bas pada Ahad. Tempat duduk penumpang bertaburan di sekitar kawasan. Turut kelihatan beg, pakaian, makanan dan permainan. Bahagian bumbung bas telah terkoyak. Walaupun rangka utama bas itu telah dibawa balik ke Balai Polis Doi Saket, lokasi kemalangan itu masih dikepung kerana siasatan polis masih berjalan. "Semuanya tidak boleh disentuh. Kita hanya membawa bas (rangka) ke balai polis. "Yang lain, semuanya masih di sini," kata seorang anggota polis di tempat kejadian. Pasukan The Star yang tiba di sini pagi Isnin, mengambil masa 45 minit untuk memandu dan tiba ke lokasi kemalangan. Jalan menuju ke tempat kejadian agak berliku dengan terdapat selekoh tajam di tempat-tempat tertentu. Jalan dua lorong akan menjadi satu lorong di beberapa tempat sebelum kembali kepada dua lorong. Berdasarkan pemerhatian, sesetengah pemandu cenderung untuk memotong kenderaan lain di hadapan mereka melalui laluan bertentangan di satu lorong walaupun di lokasi 'blind spot'. 13 rakyat Malaysia adalah antara 22 penumpang bas yang sedang dalam perjalanan dari Chiang Rai ke Chiang Mai apabila ia merempuh kenderaan lain sebelum jatuh ke dalam gaung pada pagi Ahad. "Kami menemui 15 pasport. Tujuh masih hilang. Kami akan terus mencari bukti," kata seorang pegawai kanan.