suria

Seorang Maut, Seorang Cedera Kereta Langgar Pokok Di Gurun

ALOR SETAR: Seorang maut manakala seorang lagi cedera ringan setelah kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di kilometer 74, Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Mohd Zukir Md Isa berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Noor Amalina Adlan, 21, yang duduk di bahagian penumpang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka dari arah Perlis ke Sungai Petani hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar pokok.

"Mangsa yang berasal dari Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani maut di tempat kejadian manakala pemandu lelaki dikenali sebagai Muhammad Hariz Abdul Malek berumur 20 tahun hanya mengalami cedera ringan," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.09 petang sebelum sampai kira-kira 20 minit kemudian.-Bernama

Langgar pokok, maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain