suria

Nahas Bas Ekspres: Kakak Ke Terengganu Rindu Cucu - Adik

Foto: Pasukan Bomba dan Penyelamat

BUKIT MERTAJAM: Adik kepada seorang mangsa kemalangan di   KM 124, Lebuhraya Timur Barat berdekatan Jeli awal pagi Jumaat memberitahu bahawa kakaknya ke Terengganu kerana rindu untuk melihat cucunya.

Hasnah Osman, 53, berkata kakaknya Hasiah, 58, baru sahaja melawat cucunya di Kuala Gong, Kuala Terengganu seminggu selepas menantunya melahirkan cucunya itu.

"Kakak beritahu saya dia rindukan cucunya dan tidak sabar hendak melawatnya sekali lagi selepas melihat gambar yang dikirim yang menunjukkan cucunya semakin membesar," katanya.

Hasiah dan anaknya Muhammad Amir Abdul Halim, 16, adalah antara empat yang maut apabila bas ekspres yang mereka naiki dari Butterworth menuju Kuala Terengganu dilapor bergesel dengan sebuah treler.

Sementara suami Hasiah cedera ringan dalam kejadian kira-kira 1.40 pagi itu.

Selain itu seorang anak Hasiah, Roshifah Abdul Halim berkata adiknya Muhammad Amir menghantar pesanan ringkas melalui WhatsApp dua jam sebelum kemalangan dengan memberitahu bas mereka telah bertolak dan sedang menuju Kuala Terengganu dan dijangka tiba kira-kira 4 pagi.

"Pada masa itu saya berasa lega kerana perjalanan mereka lancar," katanya.

Namun Roshifah berkata beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada bapanya kira-kira pukul 1.50 pagi yang memaklumkan ibu dan adiknya telah meninggal dunia akibat kemalangan.

Beliau berkata jenazah ibu dan adiknya akan dibawa pulang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alma di sini malam ini. -Bernama

Artikel Lain