JOHOR BARU: Tahap penguasaan Bahasa Inggeris (BI) di kalangan rakyat semakin merosot dan langkah segera perlu diambil untuk menanganinya. Itulah pendapat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Baginda sentiasa merasakan keperluan untuk mempunyai sistem pendidikan satu aliran berbanding tiga jenis sekolah sedia ada iaitu kebangsaan, Cina dan Tamil. Dalam bahagian kedua temubual eksklusif bersama The Star, Sultan Ibrahim berbicara mengenai pelbagai isu termasuk projek pembangunan di negeri itu dan bantuan ekonomi untuk pemaju dan pembeli rumah. Baginda juga berbicara mengenai wawasannya untuk negeri ini, sebab-sebab perubahan dalam nama daerah di Johor baru-baru ini dan harapannya bagi tahun 2016. Soalan: Tuanku, tahap bahasa Inggeris semakin merosot dan Malaysia kini menjadi sebuah negara di mana anak-anak muda tidak dapat bertutur Bahasa Inggeris dengan baik manakala generasi tua lebih menguasai bahasa tersebut kerana mereka belajar di sekolah aliran Inggeris. Di kebanyakan negara lain, trend adalah berbeza. Apa komen anda? Jawapan: Ya, beta setuju. Jika anda sedar, kebanyakan pegawai kerajaan pada hari ini tidak boleh bertutur atau menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Oleh itu beta tidak menyokong tiga jenis sekolah sedia ada (Kebangsaan, Cina dan Tamil). Pada hari ini, terdapat pelajar Cina dan Tamil yang tidak tahu bagaimana untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dan sudah tentu, pelajar Melayu tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Tetapi kini, apabila anda mengajar subjek Matematik, Geografi dan Sejarah dalam bahasa Melayu di sekolah, pelajar kerugian kerana mereka membaca buku dalam bahasa Inggeris di universiti. Bagaimana anda boleh menjadi seorang saintis apabila Bahasa Inggeris anda begitu teruk? Itulah sebabnya beta bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Melayu di rumah dengan anak-anak dan isteri. Tetapi beta akan bertutur dalam Bahasa Melayu apabila bertemu dengan rakyat. Generasi terdahulu boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Ya, bahasa Inggeris berada dalam bahaya, menjadi bahasa golongan tua manakala generasi muda tidak boleh menguasainya dengan baik. Di negara seperti Perancis, Sepanyol dan China, orang muda bertutur dalam Bahasa Inggeris. Namun sebaliknya berlaku di Malaysia. Saya bimbang. Jadi bagaimana kita boleh memperbaiki keadaan ini? Tiada siapa harus mempolitikkan pendidikan dan isu kesihatan. Saya bimbang dengan taraf sistem pendidikan di negara ini. Sila buka mata!