KUALA LUMPUR: Lebih separuh kes rogol yang dilaporkan di negara ini sejak tiga tahun lalu membabitkan mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun. Lebih membimbangkan, hanya kira-kira 10 peratus kes yang dilaporkan dikategorikan sebagai rogol secara paksa membabitkan gadis bawah umur manakala selebihnya atas dasar suka sama suka. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Jenny Ong Chin Lan berkata lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa gadis yang 'bangga' dijadikan hadiah Mat Rempit yang memenangi perlumbaan motosikal haram. Memetik kes seorang gadis berusia 16 tahun yang dibuang keluarga dan dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat, beliau berkata: "Dia mengaku melakukan hubungan seks dengan beberapa remaja lelaki dan memberitahu suka dengan keseronokan gaya hidup Mat Rempit." "Gadis ini membuat pilihan yang salah. Mereka tidak mendapat penjagaan yang baik dan perhatian daripada keluarga, jadi mereka mengharapkan kasih sayang daripada rakan-rakan. "Jika rakan-rakan mereka bermasalah, maka berkemungkinan besar mereka akan mengikut perangai tersebut," katanya kepada The Star. Kira-kira 1,424 daripada 2,767 kes rogol yang dilaporkan pada 2013 membabitkan gadis bawah umur. Manakala 1,243 daripada 2,349 kes yang dilaporkan pada 2014 membabitkan golongan sama. Pada tahun ini, sebanyak 920 kes rogol remaja bawah umur daripada 1,794 kes dilaporkan sehingga Oktober lalu. Dalam kebanyakan kes, ibu bapa hanya menyedari anak mereka dirogol selepas mengetahui mengenai teman lelaki anak perempuan mereka. "Kebanyakan gadis yang terlibat akan melalui fasa tekanan sebagai remaja. Mereka yang tidak boleh menyesuaikan diri dengan baik akan terbiar. Antara satu faktor utama yang menyumbang kepada kes rogol remaja bawah umur adalah pengaruh budaya dan tekanan rakan sebaya," katanya. Ong berkata dalam kes sebenar rogol bawah umur, mangsa dipaksa melakukannya atau menjadi mangsa penipuan. "Terdapat kes gadis yang mengetahui mereka akan menjadi mangsa penipuan di media sosial atau perbualan berkumpulan. Mereka menjadi terlalu percaya dan bersetuju untuk bertemu selepas berbual. "Gadis ini akan bertemu dengan individu tersebut di tempat awam sebelum dibawa ke lokasi terpencil di mana rakan-rakannya sedang menunggu. "Ada kalanya, gadis ini akan keluar bersama rakan-rakan, bertemu sekumpulan lelaki untuk makan dan minum. Kemudiannya mereka menjadi mangsa rogol berkumpulan," katanya. Ong bagaimanapun berkata jumlah kes rogol remaja bawah umur menurun sejak tiga tahun lalu berikutan Kempen Kesedaran Wanita yang diadakan sejak 2012. "Kempen tersebut tidak lagi terhad di pusat membeli-belah di kawasan bandar dan kami juga mendekati mereka yang tinggal di kawasan luar bandar," katanya. Ong berkata apa yang lebih penting adalah Bukit Aman juga memulakan kempen kesedaran kanak-kanak. "Di peringkat tadika, kami mendidik mereka mengenai apa itu 'sentuhan selamat'. Di peringkat sekolah rendah, kami mengingatkan mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali. "Di peringkat sekolah menengah, kami bercakap mengenai seks dan apa yang boleh menyebabkan kehamilan dan di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya.