SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan berlakukes penculikan di kawasan Klang Utara berikutan tersebarnya rakaman perbualan telefon seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang menangis ketakutan menerusi laman sosial. Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat bagaimanapun meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu berikutan ia boleh menggugat keselamatan remaja perempuan berkenaan. Beliau berkata polis ada menerima laporan dibuat ibu remaja itu mengenai kehilangannya pada pukul 8.20 malam, Isnin lepas setelah menyedari ketiadaan anaknya sejak Ahad. "Remaja itu dikatakan tidak pulang ke rumah sejak pukul 2.30 petang Ahad lepas namun pada peringkat awal, beliau masih boleh dihubungi ibunya menerusi telefon bimbit dan memaklumkan dia keluar untuk berjumpa rakannya. "Siasatan awal mendapati, pada hari yang sama (Ahad), adik remaja itu mengatakan ada melihat kakaknya bersama seorang lelaki, dipercayai teman lelaki mangsa kira-kira pukul 7 malam di sebuah kedai makananan laut di Tanjung Harapan, Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu. Abdul Samah berkata siasatan lanjut menunjukkan remaja perempuan itu tidak mempunyai masalah serius dengan anggota keluarganya namun sering keluar untuk berjumpa rakannya dan pernah beberapa kali pulang ke rumah lewat. Bagaimanapun semalam, ibu remaja itu menerima satu panggilan telefon daripada anaknya kira-kira 7.30 malam yang menyatakan dia telah dilarikan dua lelaki tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, kata Abdul Samah. Kata ketua polis itu lagi, remaja berkenaan juga memberitahu ibunya bahawadia telah dibawa ke sebuah gudang menaiki sebuah van berwarna putih. "Berikutan itu, satu pasukan penyiasat ditubuhkan bagi menjejaki lokasi remaja tersebut dan operasi mengesan mangsa sedang giat dijalankan. Kes inidiklasifikasikan sebagai culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta segera menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, ASP Burhanuddin Mustafa di talian 019-3829212 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Tarmizi Umar di talian 013-3430150 bagi membantu siasatan. Satu rakaman perbualan telefon remaja itu selama tiga minit 43 saat dimuat naik di laman sosial dipercayai dilakukan anggota keluarganya sebagai langkah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada pihak berkuasa. Menerusi rakaman itu, remaja perempuan berkenaan menangis dan merayu supaya anggota keluarganya segera menyelamatkannya dan menyatakan ramai lagi individu lain turut ditahan di dalam gudang berkenaan serta mendakwa penculik akan menjual mereka. Menurut remaja itu lagi, beberapa lelaki dari sebuah van putih telah menculiknya ketika dalam perjalanan pulang dan papan tanda terakhir yang dilihatnya sebelum ditutup mulut menggunakan kain adalah Johor Baharu.-Bernama