ASSALAMUALAIKUM. Madinah Munawarah indah dan menenangkan jiwa. Kami menginap di Hotel New Shourfah yang terletak berhampiran dengan Hotel Anwar Movenpick. Tidak jauh untuk ke Masjid Nabawi yang tersergam megah. Tempoh berada di Madinah selama tujuh hari perlu saya rebut sebaik-baiknya dan memaksimumkan kehadiran ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat berjemaah lima waktu. Namun, di Madinah, saya terasa badan mula lesu dan kurang bermaya. Batuk selesema mula bertandang. Alhamdulillah tidak pula demam dan ini membolehkan kaki melangkah ke masjid. Perlu dilawan segala masalah kesihatan yang mula bertamu. Minyak gosok dan ubat-ubatan yang saya bawa dari tanah air mula saya ambil. Syukur ia tidak melarat. Setelah berkunjung ke makam Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat serta Raudah sehari selepas tiba di Madinah, saya turut merebut peluang untuk berkunjung ke makam sekali lagi apabila dipelawa oleh rakan-rakan jemaah wanita. “Ana dah pergi Raudah ke?” tanya kak Sarah. “Dah pergi semalam kak. Kenapa? Kak nak pergi lagi ke?” tanya saya. “Kalau Ana pergi, kak pun nak pergi lagi,” balas beliau. “Oh boleh sajalah kak,” jawab saya ringkas. “Yang lain nak ikut tak?” tanya beliau. “Nanti Ana tanya,” balas saya pula. Secara kebetulan, Noor Baya dan beberapa jemaah lagi juga mahu ke Raudah dan kami bercadang menziarahi makam dan Raudah selepas solat Subuh serta selesai bersarapan di hotel pada Jumaat pagi. “Kita tak boleh lambat ye sebab esok Jumaat. Lepas solat kita balik hotel, makan, naik ke bilik sekejap untuk ambil wuduk dan terus pergi,” pesan saya. Semua akur. Justeru, pada Jumaat pagi 9 Oktober, berjalanlah saya, Datin Nora, Jun, Noor Baya, kak Sarah, kak Nora, Azlina dan kak Zahara menuju ke pintu 25 untuk masuk ke Raudah setelah bersarapan di hotel. Sejurus masuk ke masjid, petugas wanita berbangsa Arab dan berniqab mengarahkan saya menuju ke kumpulan Arab kerana menyangka saya dari negara Arab namun apabila saya menunjukkan jemaah di belakang saya dan berkata Malaysia, beliau menunjukkan arah kumpulan Melayu yang menempatkan jemaah Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Subhanallah, ramai sungguh jemaah wanita ketika itu. Sejurus memasuki kumpulan Melayu, kami bersolat sunat dan selesai solat, ada yang berzikir, berdoa dan membaca. Saya teringat pesanan seorang ustaz yang menasihatkan saya agar bersolat sunat hajat setiap kali sebelum mahukan atau melakukan sesuatu. “Elok solat hajat dua rakaat dan pada sujud terakhir bacalah Rabbi Yassir Walatuassir tiga kali dan doalah apa yang kita hendak,” ujar Ustaz Khalid ketika saya memaklumkan kepadanya mahu mengerjakan haji. Justeru, saya akan melakukan solat hajat sebelum memulakan sesuatu perkara dan Alhamdulillah, memang dipermudahkan oleh Allah. Setelah beberapa ketika, kami diarahkan pula untuk bergerak secara berperingkat menuju ke kawasan makam dan Raudah. Ramai jemaah berlumba-lumba untuk masuk ke kawasan Raudah tetapi kami menunggu giliran. “Biarlah lambat pun tak mengapa,” kata Noor Baya. Semua diam sahaja. Dalam menunggu itu, Jun sempat merakamkan gambar kami di dalam Masjid Nabawi. Kami tetap menunggu dengan penuh sabar sehinggalah akhirnya giliran kami yang paling akhir menziarahi makam dan Raudah. Lapang. Tidak bersesak kerana semua jemaah sudah meninggalkan kawasan itu. Kami dapat bersolat dengan tenang. Bayangkanlah rezeki kami ketika itu kerana ada antara jemaah saya dapat menunaikan solat sunat sehingga lapan rakaat kerana tidak perlu berebut-rebut dan berasak-asak sepertimana lazim. Itulah berkat kesabaran menunggu. Khusyuk berdoa dan bersolat kerana tidak sangka kawasan makam dan Raudah menjadi sepi setelah semua jemaah wanita berlalu pergi. Ketika itu, sekitar jam 10.30 pagi. Syukur kerana diberi peluang untuk bersolat dengan penuh tenang di dalam taman syurga dan memanjatkan doa kehadrat Ilahi. Saya sifatkan ia suatu pengalaman luar biasa kerana keadaan Raudah sepi daripada asakan jemaah. Selesai menziarahi makam dan bersolat di Raudah, kami tidak pulang ke hotel kerana jam sudah 11 pagi. Justeru, kami terus iktikaf di dalam masjid untuk menunggu solat Jumaat. Semua puas hati dan bersyukur kerana penantian dan kesabaran tidak sia-sia. Selesai solat Jumaat, semua pulang ke hotel dan menikmati hidangan tengah hari. Saya tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan masa di masjid pada setiap waktu solat fardu. Di masjid kedengaran batuk bersahutan. Boleh dikatakan, ramai jemaah haji mengalami batuk selesema dan sakit tekak. Cuaca panas kira-kira 40 darjah Celcius di Madinah mencabar dan menduga daya ketahanan badan setiap jemaah. Sementara menunggu azan Isyak berkumandang, lazimnya saya membaca al-Quran. Di sebelah saya seorang wanita batuk begitu teruk sekali sehingga tidak sampai hati saya melihatnya dan menghulurkan minyak gosok untuk melegakan sedikit keperitan. “Cuba guna minyak ni. Insha Allah lega sikit nanti,” ujar saya sambil menghulurkan minyak gosok yang diberi oleh ibu saudara. Minyak itu menyebabkan penggunanya terasa lega dan segar. Saya sering membawanya ke mana-mana selain Tiger Balm putih dan minyak kayu putih. “Terima kasih,” ucap wanita itu yang berusia dalam lingkungan 40-an. “Dah lama ke batuk selesema?” tanya saya. “Sejak dari Makkah lagi. Sekarang ni makin teruk,” katanya. “Sabarlah. Bukan awak seorang je yang batuk. Sebahagian besar jemaah pun batuk-batuk. Alhamdulillah jika tidak demam. Sebab kalau demam, tak boleh nak bangun pula nanti,” ujar saya lagi. “Alhamdulillah saya tak demam. Saya ni kalau batuk dan selesema memang teruk sebab pernah buat pembedahan akibat sinus beberapa tahun lalu. Jadi jika habuk dan perubahan cuaca memang saya sangat alah,” katanya lagi. “Oh ye. Kesiannya. Patutlah awak pakai filter pada hidung,” ujar saya pula. “Ye. Sebab itu kena guna filter. Jika tidak, lagi teruk agaknya saya selesema dan batuk,” balas beliau pula. “Siapa nama?” tanya saya. “Zakiah…Hajah?” balas beliau pula. “Saya Raihanah,” balas saya pula. “Mana hajah beli minyak gosok ni?” tanya beliau. “Ibu saudara beri. Dia beli di Batam,” jawab saya pula. “Segarlah sekarang saya rasa. Baunya pun sedap,” balas beliau. “Alhamdulillah,” balas saya pula. Zakiah yang bekerja di Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur City Centre duduk di Hotel Anwar Monvenpick dan menunaikan ibadat haji dengan suaminya melalui pakej Lembaga Tabung Haji. Tidak lama selepas itu, azan Isyak berkumandang dan kami menunaikan solat sunat serta menunggu pula solat fardu berjemaah. Selesai solat, Zakiah mengucapkan terima kasih dan kami membawa haluan masing-masing. Esoknya, saya melalui pengalaman yang hampir sama yang mana di sebelah saya duduk seorang warga Indonesia yang batuknya sangat keras sehingga menjadi perhatian jemaah berhampiran. Ketika itu kami sedang menunggu solat Subuh dan semua sedang duduk mengaji dan tidak kurang juga menunaikan solat sunat. Tiba-tiba, jemaah wanita berkulit cerah di sebelah saya batuk hingga hampir termuntah. Saya menggosok bahagian belakang tubuhnya dan menyuruhnya minum air zamzam yang ada di dalam beg galasnya. Dia tidak mampu berkata-kata. Batuk berpanjangan. Hendak minum air juga sukar. Jemaah di sebelah kiri membuka minyak kayu putih dan memberikannya kepada jemaah berkenaan, manakala saya pula tidak henti-henti menggosok bahagian belakang badannya. Air matanya mengalir menahan kesakitan akibat batuk yang berpanjangan. Rakan-rakan di sebelah kirinya mula memberi perhatian. Semua simpati dengan keadaan jemaah berkenaan. Selepas minum air zamzam beberapa teguk, batuknya berhenti seketika. Dia tersedak kecil dan rakannya pula menggosok bahagian belakang tubuhnya. Alhamdulillah batuknya berhenti dan beliau mampu berbual dengan rakan jemaah dan saya di sebelah kanannya. “Sakit betul dada saya ni sebentar tadi. Batuknya sangat keras,” kata wanita berkenaan. “Ramai yang batuk. Itu umpama kebiasaan di sini. Di masjid ini saja sudah kedengaran ramai jemaah yang batuk,” ujar saya. “Ya. Ramai yang batuk sekarang ini,” balas beliau pula. “InsyaAllah sembuh nanti. Makan saja ubat-ubatan,” ujar saya lagi. Sejurus iqamat dilaungkan, semua jemaah bingkas bangun dan memberi perhatian untuk solat Subuh berjemaah. Selesai solat kami bersalaman dan berlalu pergi. Di kalangan jemaah saya sendiri, ramai juga yang batuk, selesema, demam dan sakit tekak. Alhamdulillah, tiada antara mereka yang terlantar sakit sehingga tidak mampu untuk beribadat di masjid. Kak Zaini yang duduk sebilik dengan saya ketika di Makkah turut mengalami sakit tekak sehingga hilang suara manakala Jun pula demam untuk beberapa hari. Namun, mereka gagahkan diri untuk beribadat di masjid dan merebut peluang untuk menziarahi Raudah. Hakikatnya, batuk, selesema, demam dan sakit tekak adalah antara penyakit ringan yang sering dihadapi oleh sebahagian besar jemaah haji dan umrah. Namun, dengan izin Allah, semua penyakit itu tidak memudaratkan dan membantutkan pergerakan jemaah untuk beribadat serta beramal. Ikuti perjalanan pulang ke tanah air dalam catatan kembara saya pada minggu hadapan, insyaAllah.