JOHOR BARU: Pasangan warga Singapura yang didakwa terlibat dalam kontroversi pengambilan anak angkat berusia tiga tahun, Angie Tiong menjelaskan bahawa mereka hanya mahu menyediakan sebuah kediaman yang lengkap dan selesa kepada budak perempuan itu. Cannie Ong berkata beliau terkejut apabila terbaca laporan akhbar mengenai bapa kanak-kanak perempuan itu yang membuat laporan polis mendakwa bahawa anaknya diculik. "Sebelum mengambilnya sebagai anak angkat, kami tahu dia datang dari keluarga yang sudah berpecah-belah dan mengetahui keadaan bapanya, jadi hati bertambah terdetik untuk mengambilnya. "Proses pengambilan anak angkat mengikut undang-undang di Malaysia telah dilakukan dan kami tidak mempunyai sebarang niat jahat. "Kami hanya mahu memberi persekitaran yang sihat dan kehidupan yang lebih baik untuknya," kata Ong dalam satu sidang media di sini, Selasa. Ong berkata beliau dan suaminya dari Malaysia yang mempunyai status penduduk tetap Singapura mempunyai seorang anak lelaki dan berhasrat untuk mendapatkan seorang anak perempuan. Berikutan itu, mereka mahu mengambil anak angkat perempuan dan akhirnya melalui cadangan seorang rakan, mereka bertemu seorang lelaki yang memperkenalkan mereka kepada Angie pada September tahun lalu. Namun, berita kehilangan Angie mendapat liputan meluas apabila bapanya yang juga penagih dadah membuat laporan polis mendakwa dia telah diculik. Bapa kanak-kanak itu mendakwa anak perempuannya diculik seorang rakan yang mengambil kanak-kanak tersebut pada 11 November lalu.