KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada pengendali medan selera di sebuah pasar raya besar dekat sini yang mengenakan harga tinggi untuk minuman. Isu tersebut menjadi viral di Facebook selepas beberapa individu berkongsi resit untuk dua gelas milo ais berharga RM8.40 dan teh hijau ais pada harga RM2.80 dan RM6.40 untuk dua gelas teh O limau ais. Timbalan Pengarah kementerian tersebut, Abd Hafidz A Rahim berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-pencatutan 2011 dikeluarkan semasa pemeriksaan oleh sepasukan pegawai kementerian berkenaan di medan selera terbabit. "Pengendali itu diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan bagi harga yang dikenakan terhadap makanan dan minuman yang dijual di premis tersebut," katanya kepada pemberita. Abd Hafiz, yang juga ketua pegawai penguatkuasa kementerian itu di Sarawak berkata, siasatan juga akan mengambil kira kos tanggungan perniagaan dan margin keuntungan yang diperolehi pengendali berkenaan dengan harga yang dikenakan. "Kami perlu tengok margin keuntungan terlebih dahulu. Jika ia berlebihan atau tidak munasabah, maka kita akan ambil tindakan," katanya.