DENGKIL: Kira-kira dua bulan lalu, SJKT Dengkil berada dalam keadaan terpinggir dan pelajarnya belajar dalam keadaan tidak terurus. Selepas lawatan mengejut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 29 Oktober, sekolah ini telah menjalani kerja-kerja utama pembaikan. Lima minggu kemudian, SJKT Dengkil telah berwajah baharu dengan kemunculan bangunan-bangunan yang lebih selamat, lebih banyak bilik darjah dan makmal sains ditambah, tandas diubahsuai, ditambah pula dengan pendingin hawa dan dewan sekolah baharu. Najib, pada Rabu melawat sekolah ini sekali lagi untuk memeriksa kemudahan baharu di sekolah itu, yang dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan untuk penggal yang baharu bermula. "Kerja-kerja pembaikan adalah penting untuk memastikan guru dan pelajar mempunyai persekitaran yang kondusif untuk mengajar dan belajar. "Kerajaan menghargai usaha-usaha untuk mendidik rakyat Malaysia dan akan menyokong pembelajaran kondusif, terutama bagi pelajar dari latar belakang yang kurang bernasib baik. "Pelajar ini adalah pemimpin masa depan dan saya yakin bahawa dengan persekitaran yang lebih kondusif, ditambah pula dengan dedikasi guru-guru dan sokongan mereka, prestasi akan bertambah baik," kata Najib dalam satu kenyataan. Turut hadir di sekolah itu ialah Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.