"Jangan bimbang, tidak akan ada kejadian 'blackout' (elektrik terpadam)!" kata Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Tan Sri R. Nadarajah.
Beliau memberi jaminan bahawa kejadian 'blackout' pada tahun lepas yang berlaku kira-kira tiga jam pada malam perayaan ini, tidak akan berulang.
"Pencawang baru telah dibina dan pendawaian telah ditukar. Semuanya telah diperbetulkan," katanya pada sidang akhbar di Batu Caves di sini, Khamis.
Perkara utama yang menjadi kebimbangannya adalah keselamatan awam.
"Kira-kira 2,000 pegawai polis dan sekurang-kurangnya 500 pengawal Rela akan ditempatkan ketika sambutan itu," katanya.
Namun begitu, beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada.
"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak memakai barang-barang berharga seperti emas untuk mengelakkan kecurian," katanya.
Bermula dari 23 Jan, perkhidmatan kereta api akan dilanjutkan pada hujung minggu dengan perkhidmatan tanpa henti selama 72 jam.
Maklumat mengenai bas tambahan dan laluan hanya boleh didapati pada Isnin depan.