PETALING JAYA: Keadaan kesihatan anak kedua bekas ketua pembangkang, Nurul Nuha Anwar yang mengalami kecederaan di kepala akibat terjatuh ketika melalui tempoh awal kehamilannya kini beransur pulih. Lebih melegakan apabila kakak sulungnya, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut mengesahkan bahawa kandungan anak ketiga adiknya itu juga selamat. "Alhamdullilah Nuha makin pulih. Kini berehat di rumah bapa di Segambut. Doktor menyarankan supaya dia banyak berehat supaya kecederaan di kepala surut dan pulih sepenuhnya. "Keadaan bayi baik dan tidak terjejas akibat kecederaan Nuha,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada mStar Online. Nurul Nuha bersama suami dan dua anaknya ketika menghadiri sesi perbicaraan kes bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu. Nurul Nuha yang mengetuai kempen 'March to Freedom’ bagi pembebasan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Damansara selepas terjatuh di rumahnya pada 23 Disember lalu. Susulan itu, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara selama lima tahun diberi kebenaran oleh pihak Penjara Sungai Buloh untuk melawat anak perempuannya itu pada 25 Disember lalu.