suria

Pusat Rawatan Jamin Siasat Punca Pertukaran Bayi

Dr Khairul Faizi Khalid. Foto G.C.Tan

JITRA: Pusat Rawatan Mahsuri di sini masih menyiasat secara terperinci punca berlaku kejadian pertukaran bayi Rabu lepas.

Pengarahnya, Dr Khairul Faizi Khalid berkata, pada masa yang sama isu berkenaan dianggap telah selesai apabila bayi berkenaan telah diserahkan semula kepada ibu bapa masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya turut membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Katanya selepas mengetahui kes tersebut, pihaknya hanya mengambil masa dua jam untuk menyerahkan semula kedua-dua bayi tersebut kepada ibu bapa masing-masing.

Sementara itu Nik Ahmad Sabri Mohamad Yusoff, 37, berkata keputusan DNA yang diminta dilakukan olehnya dan isterinya Mahani Zakaria, 36, membuktikan bayi berkenaan yang tertukar adalah bayi mereka.

Beliau berharap perkara itu tidak akan berulang pada masa depan.

"Kita perlu peka mengenai anak kita sebelum membawanya pulang ke rumah selepas dilahirkan di hospital. Kita perlu periksa terlebih dahulu tag nama dan dokumen berkaitan bayi kita sebelum pulang ke rumah," katanya.

Nik Ahmad Sabri berkata, beliau akan terus berhubung dengan pasangan ibu bapa bayi yang tertukar dengan bayinya yang berasal dari Yan itu kerana bayi mereka telah menjadi bayi susuan kepada wanita berkenaan. - Bernama

Artikel Lain