suria

Tatacara Tarik Kenderaan Di WhatsApp Tidak Benar - KPDNKK

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA: Terdapat maklumat tidak benar dalam tatacara pemilikan semula kenderaan oleh pihak bank yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp kebelakangan ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Kementerian itu dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mengikut Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011, pihak bank boleh menarik kenderaan sekiranya jumlah bayaran ansuran melebihi 75 peratus daripada nilai barangan dan memperoleh perintah mahkamah.

"Menurut peraturan yang sama juga, pemegang permit hendaklah mendapat keizinan daripada penyewa sebelum memasuki premis persendirian atau dengan mendapat perintah mahkamah," kata KPDNKK.

Tambahnya waktu operasi bagi menjalankan pemilikan semula pula adalah dari pukul 9 pagi hingga 9 malam pada setiap hari termasuk cuti umum.

"Sekiranya perlukan lanjutan masa operasi, permohonan boleh dibuat kepada ketua pegawai penguatkuasa KPDNKK negeri dan juga daerah," katanya.

KPDNKK berkata bagi menjalankan operasi itu, pemegang Permit Ejen Pemilikan Semula (EPS) hendaklah memiliki kad permit EPS yang sah dan masih dalam tempoh sahlaku semasa menjalankan aktiviti pemilikan semula kenderaan atau barangan.

Menurut mesej yang tersebar di aplikasi WhatsApp, pihak bank tidak boleh menarik kenderaan sekiranya kenderaan tersebut berada di kawasan kediaman berpagar, selain tidak boleh dijalankan pada hari cuti umum dan juga selepas pukul 9 malam. -- Bernama

KPDNKK, WhatsApp, EPS

Artikel Lain