suria

Tiga Menteri Ditugas Kaji Implikasi Kes Indira Ghandi

KOTA KINABALU: Kabinet prihatin mengenai implikasi yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu pertukaran agama anak dalam kes Indira Ghandi, dan telah mengarahkan tiga menteri menelitinya.

"Kabinet sangat, sangat prihatin mengenai keputusan kes tersebut kerana implikasinya yang amat besar," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau di sini, Sabtu.

Beliau berkata, isu mengenai penghakiman telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet yang lalu, di mana tiga menteri telah ditugaskan untuk meneliti perkara tersebut.

"Kabinet telah membuat keputusan tertentu dan ia melibatkan dua atau tiga menteri untuk menelitinya," katanya yang enggan mengulas lanjut namun hanya menjelaskan bahawa perkembangan seterusnya akan diumumkan dalam waktu terdekat.

Tangau yang merupakan pemangku Presiden Upko berkata, mereka tidak mempersoalkan penghakiman tetapi merasakan ia perlu berdasarkan perkara undang-undang.

"Kita tidak mahu mempersoalkan keputusan hakim tetapi penghakiman mesti berdasarkan perkara undang-undang dan tidak boleh disebabkan oleh pertimbangan lain," kata Tangau kepada para pemberita selepas melawat Pusat Komersial dan Teknologi di Penampang yang bakal siap tidak lama lagi.

Pada 30 Disember tahun lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan rayuan kerajaan terhadap Indira yang sebelum ini memperoleh keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan sijil pertukaran agama anak-anaknya.

Mahkamah memutuskan sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak bukan satu perkara yang ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Anak-anak Indira telah memeluk agama Islam oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelum itu dikenali sebagai K. Patmanathan.

Artikel Lain