suria

Polis Marin Tumpas Seludup Rokok Putih RM5 Juta Di Sungai Kong Kong

JOHOR BARU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menggagalkan penyeludupan masuk 535,000 paket rokok putih bernilai RM5.4 juta termasuk cukai dalam serbuan terhadap sebuah kapal di jeti persendirian di Sungai Kong Kong, Masai, dekat sini, Jumaat malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pada kira-kira 11 malam hingga 4 pagi itu turut menahan lima lelaki rakyat Indonesia dan empat lelak tempatan berumur antara 25 dan 48 tahun.

"Ketika serbuan, kapal dengan nama 'LCT Sulaiman' itu sedang berlabuh di jeti tersebut dengan beberapa individu kelihatan memunggah kotak-kotak rokok tersebut ke dalam sebuah lori seberat 10 tan, di tebing sungai.

"Apabila diserbu ada suspek yang cuba melarikan diri, namun, kesemuanya berjaya ditahan.

"Terdapat juga tonto yang cuba mengancam serbuan itu, namun, anggota JSJ Johor berjaya menghalang mereka dan memberi bantuan keselamatan kepada anggota PPM Wilayah Dua," katanya kepada pemberita di Jeti Dapur Arang, Sungai Kong Kong, dekat sini, Sabtu.

Kamarul Zaman berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua 535,000 paket rokok putih berjenama JM9 dan Luffman yang mengandungi 20 batang rokok setiap sepaket itu dipercayai cuba diedarkan untuk pasaran negara ini.

Katanya, polis sedang menyiasat lebih terperinci mengenai kegiatan itu termasuk lokasi kapal didaftarkan dan buat masa ini polis percaya kegiatan terbabit dilakukan kira-kira tiga bulan lepas.

Kesemua rokok, kapal serta lori terbabit turut disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, katanya.

Serbuan malam tadi yang melibatkan seorang pegawai, 15 anggota berserta tiga bot ronda PPM Wilayah Dua itu turut dibantu tiga pegawai dan 20 anggota JSJ.

Turut hadir pada sidang media itu, Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain