Beliau berkata sikap segelintir pemimpin dan anggota politik itu merosak dan mencemar nama baik parti serta negara.
"Elaklah, agar tidak berlaku korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Harus ada titik pemisah kerana negara akan rosak kalau ada golongan seperti ini," katanya semasa merasmikan Program Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Sabtu.
Ahmad Zahid berkata golongan seperti ini menjadi punca kepada pandangan negatif rakyat kepada ahli politik dan anggota kerajaan, serta menjejas peluang kepada golongan usahawan sebenar, terutama usahawan muda yang mahu bertapak dalam bidang perniagaan.
"Beri peluang kepada usahawan muda. Cukuplah... jangan rosakkan nama orang politik," katanya.
Ahmad Zahid meminta mereka yang berpolitik supaya memberi sepenuh tumpuan kepada politik manakala yang berniaga pula memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaan masing-masing.
Menurutnya golongan yang berniaga atas landasan politik tidak akan dapat kekal dan bertahan lama kerana ia berbeza dengan golongan peniaga sebenar yang tidak mencampur aduk urusan perniagaan dan politik.