suria

Nekad Terpaksa Import Ikan Akibat Cuaca Panas

Gambar Hiasan

ALOR SETAR: Persatuan Nelayan Kedah (Nekad) terpaksa mengambil langkah mengimport kira-kira 10 tan hasil laut sejuk beku bagi menampung kekurangan bekalan akibat cuaca panas akhir-akhir ini.

Pengerusi Nekad Ahmad Rudin Hussin berkata langkah itu terpaksa diambil memandangkan hasil tangkapan yang semakin merosot sehingga 50 peratus akibat keadaan cuaca pada masa ini.

Beliau berkata, keputusan untuk mengimport hasil laut itu adalah hasil mesyuarat persatuan berkenaan semalam dan dijangka akan dimulakan dalam akhir bulan ini, sekiranya keadaan cuaca panas masih berterusan. 

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya terpaksa memilih untuk mengimport hasil laut daripada negara-negara yang mempunyai nilai mata wang yang rendah seperti India, Bangladesh, Indonesia memandangkan nilai ringgit Malaysia yang agak merosot. 

Bekalan hasil laut yang meliputi ikan selar, selayang, sardin, bawal, udang serta dijangka mampu memenuhi keperluan dalam tempoh Februari hingga Mac ini, bergantung kepada keadaan cuaca, katanya. 

Beliau berkata, keadaan cuaca panas dialami sekarang turut menyebabkan harga ikan melambung naik seperti ikan termenung yang naik daripada RM7 sekilogram kepada RM14 sekilogram. 

"Apabila cuaca panas, air laut pun panas, maka ikan-ikan banyak lari ke tengah laut ingin mencari tempat sejuk, dan amatlah bahaya untuk para nelayan turun ke tengah laut dalam keadaan seperti ini," katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Pengarah Meterologi Kedah Rosli Zakaria@Che Kob berkata, fenomena El-Nino yang berlaku meningkatkan lagi cuaca panas dan kering yang di alami negeri-negeri utara semenanjung ketika ini.

Katanya, bagi tempoh antara Disember hingga Mac, corak iklim di negeri-negeri utara sememangnya panas dan kering seperti kebiasaan.

Sehingga semalam, Stesen Meterologi Alor Setar mencatatkan rekod tiada hujan selama tempoh hampir tiga minggu bermula 18 Dis lepas, dengan hanya sehari hujan pada 28 Disember.

Suhu pula dalam julat 23 hingga 34 darjah celcius. --Bernama


Nekad, Ahmad Rudin Hussin, El-Nino

Artikel Sebelum

Artikel Lain