suria

Ahli Parlimen Sambut Baik Cadangan Wujud Kamar Kedua

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap dapat mempercepat pertimbangan mengenai pelaksanaan transformasi Parlimen termasuk berkenaan mewujudkan Kamar Kedua di Dewan Rakyat.

Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata ini kerana pelaksanaan transformasi itu memerlukan pindaan Akta Parlimen dan Peraturan Mesyuarat, yang memerlukan masa untuk diluluskan.

"Bagi membolehkan transformasi itu diadakan pada sesi mesyuarat Mac ini, saya harap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dapat mencadangkan kepada kerajaan untuk adakan sesi mesyuarat khas bulan depan bagi membolehkan pindaan ke atas akta dan peraturan mesyuarat dibuat," katanya.

Bercakap kepada Bernama, Mahfuz yang juga anggota jawatankuasa Dewan Rakyat mengenai transformasi itu berkata proses tersebut wajar disegerakan bagi membolehkan penambahbaikan yang dicadangkan dilaksanakan tahun ini.

"Sebelum mesyuarat terakhir tahun lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia ada menyatakan hasrat untuk melihat transformasi itu dapat dilaksanakan pada sesi pertama mesyuarat pada Mac ini," katanya mengulas kenyataan Pandikar Amin semalam bahawa cadangan pelaksanaan transformasi Parlimen yang merangkumi cadangan mewujudkan Kamar Kedua telah dibawa kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Transformasi Parlimen.

Transformasi itu turut merangkumi cadangan untuk mengadakan Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Kamar Kedua adalah bagi membolehkan usul-usul yang dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 dan tidak memerlukan proses pengundian, termasuk ucapan penangguhan, dikemukakan secara serentak dengan persidangan Dewan Rakyat, bagi menjimatkan masa dan melicinkan perjalanan dewan.

Mahfuz turut melihat transformasi itu sebagai satu penyelesaian kepada isu kekangan masa yang dihadapi anggota Parlimen bagi membawa sesuatu usul yang dianggap perkara tertentu, berkepentingan awam dan perlu disegerakan.

"Selalunya akan ada usul-usul yang dikemukakan terpaksa ditolak oleh Speaker kerana berhadapan pelbagai perkara termasuk kekangan masa kerana terpaksa mendahulukan urusan kerajaan yang lain," katanya.

Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat membenarkan anggota dewan, selain daripada menteri boleh mencadangkan supaya Majlis Mesyuarat ditangguhkan bagi membincangkan usul yang dianggap sebagai tertentu, berkenaan kepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan dikemukakan.

Sementara itu, anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim turut sependapat dengan Mahfuz dan menyifatkan cadangan itu sebagai satu transformasi yang sangat bersejarah sekiranya berjaya direalisasikan.

Katanya, dengan adanya Kamar Kedua itu akan memberi lebih ruang kepada anggota Parlimen untuk membangkitkan sesuatu isu, khususnya membabitkan soal dasar dan polisi dan mendapatkan maklum balas daripada pihak kerajaan.

Pendapat itu turut disokong anggota Parlimen Bakri, Er Teck Hwa yang menyifatkan cadangan itu akan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Cara baharu ini bagus dan saya harap boleh diteruskan dan transformasi ini saya rasa akan boleh diterima semua pihak," katanya yang berharap penambahbaikan itu dapat dilaksanakan tahun ini.

Dewan Rakyat, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain