suria

Wanita, Teman Lelaki Ditahan Tanam Bayi Baru Lahir

NILAI: Tiga ditahan termasuk seorang wanita dan teman lelakinya dipercayai cuba menyembunyikan kelahiran dengan menanam bayi mereka yang telah meninggal dunia selepas baru dilahirkan, di sebuah kawasan rumah di Dangi, Kuala Pilah.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata ketiga-tiga mereka berusia lingkungan 23 dan 25 tahun ditahan petang tadi selepas polis menemui jasad bayi berkenaan di dalam sebuah lubang di kawasan rumah itu.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita berusia 25 tahun itu melahirkan bayi tersebut pada Ahad lepas di sebuah rumah di Nilai. Bagaimanapun bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan.

"Teman lelaki wanita berkenaan (ibu bayi) bersama-sama adiknya (adik teman lelaki) kemudian membungkus mayat bayi itu dalam kain dan menanamnya di kawasan semak di tepi rumah di Dangi, Kuala Pilah," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Katanya pada 6 petang tadi, pasukan forensik disaksikan suspek, mengorek lubang yang dikatakan lokasi bayi tersebut ditanam dan menemui satu bungkusan kain dan di dalamnya terdapat jasad bayi dalam keadaan cukup sifat tetapi telah kecut.

Zaldino berkata wanita itu dan jasad bayi berkenaan akan dibawa ke hospital Seremban untuk siasatan lanjut.

Artikel Berikut

Artikel Lain