suria

1MDB: Beban Kewangan Pindah Pangkalan TUDM Tak Patut Berbangkit - Rafizi

Rafizi Ramli
PETALING JAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak sepatutnya membangkitkan mengenai bebanan kewangan untuk memindah dan menaik taraf pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berikutan pembelian ekuiti Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) oleh syarikat berkaitan kerajaan China.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli berkata, ini kerana 1MDB melalui BMSB telah pun menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion pada 2014 untuk membiayai kerja-kerja itu.

"Kenapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pangkalan tentera itu masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian daripada urus niaga jual beli ekuiti BMSB, sedangkan 1MDB melalui BMSB telah meminjam RM2.4 bilion pada 2014 untuk membiayai kerja-kerja tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Rafizi merujuk kepada kenyataan 1MDB pada 6 Januari 2016 yang mengesahkan penglibatan syarikat berkaitan kerajaan China dalam projek pemindahan dan naik taraf pangkalan TUDM.

"Pengumuman yang difailkan di Bursa Hong Kong mengesahkan bahawa struktur urus niaga melalui kaedah penjualan ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan kerajaan China itu memfailkan nilai urus niaga ekuiti," katanya.

Katanya kenyataannya 1MDB itu juga mengakui bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naik taraf pengkalan-pengkalan tentera udara itu adalah RM2.7 bilion dan baki pembayaran yang perlu dikeluarkan 1MDB untuk membayar kontraktor adalah RM1.9 bilion.

Katanya, dengan mengambil kira baki RM1.9 bilion yang perlu dibayar itu, ini bermakna 1MDB hanya membelanjakan sebanyak RM800 juta untuk membayar kontraktor.

"Persoalan paling besar, adakah dari jumlah RM2.4 bilion yang diperolehi, hanya RM800 juta yang dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naik taraf pangkalan-pangkalan udara itu.

"Ini bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu tidak digunakan bagi tujuan itu.

"Ke mana dana RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia telah digunakan?," soal beliau.

Pada 31 Disember lalu, 1MDB menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham dengan menjual 60 peratus ekuiti BMSB kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd bernilai RM7.4 bilion, langkah terakhir dalam pelan rasionalisasinya.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata, konsortium itu telah menyatakan komitmennya untuk menghormati pelan pembangunan asal Bandar Malaysia meliputi 486 ekar (196.68 hektar) termasuk menyediakan rumah mampu milik di kawasan tersebut dan membangunkan semula lapangan terbang di Sungai Besi di ibu negara.

Artikel Berikut

Najib Lawat Hadi Di IJN

Artikel Lain