SINGAPURA: Warga Singapura turut mendoakan semoga Datuk Seri Najib Tun Razak segera sembuh dan dalam ucap selamat menerusi laman Facebook itu, seorang daripada mereka menyifatkan perdana menteri Malaysia sebagai "tokoh paling mesra di Malaysia terhadap Singapura".
Ini susulan status Facebook Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada 9 Januari, yang mendoakan mudah-mudahan rakan sejawatannya itu yang menjalani pembedahan kecil di Hospital Kuala Lumpur, segera sembuh.
Hsien Loong memberitahu 934,996 pengikut Facebook beliau yang menandakan 'like': "PM Najib Razak menjalani pembedahan hari ini untuk membuang ketumbuhan kecil benigna pada tangan kanannya. Gembira mendengar ia berjaya dan berjalan lancar.
Moga beliau segera sembuh dan harap-harap dapat bertemu beliau tidak lama lagi. LHL."
Selain itu, pengikut laman Facebook itu turut menyuarakan harapan mereka agar hubungan antara kedua-dua negara terus diperkukuhkan.
Joseph Tan: "Saya gembira mendengar PM Najib Razak berjaya menjalani pembedahan kecil. Pada penilaian saya, beliau setakat ini merupakan PM terbaik bagi Malaysia untuk menjalin hubungan menang-menang dengan negara jiran terdekat, Singapura. Semoga beliau dapat menguruskan serta mengatasi cabaran getir dalam kepimpinannya bagi tahun-tahun mendatang."
Ada antara mereka yang mengambil peluang menyatakan harapan mudah-mudahan 2016 menjadi tahun yang lebih baik bagi Najib.
Yi Feng Niang berkata: "PM Najib seorang yang baik kepada SG (Singapura) tetapi sedang melalui masa yang amat sukar, kasihan beliau. Mudah-mudahan 2016 menjadi tahun yang lebih baik bagi beliau dan rakyat Malaysia!"-- Bernama