Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor Hishamudin Badiyol Zuman berkata kesemua PATI warga Indonesia itu terdiri daripada empat lelaki dan lima wanita, berumur antara 25 dan 46 tahun, serta seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
"Mereka ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta permit tamat tempoh dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, Rabu.
Katanya operasi itu adalah usaha Imigresen mengesan majikan yang melindungi pekerja asing berkenaan dan mereka menjalankan kerja pertanian termasuk menanam rumput dan pokok hiasan.
"Kita akan lakukan operasi di kawasan ini secara berterusan dan ini merupakan fasa pertama," katanya sambil menambah operasi selama empat jam bermula 11 malam semalam itu disertai 26 pegawai dan anggota Imigresen termasuk petugas Jabatan Pendaftaran Negara.