PUTRAJAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015 akan dikeluarkan pada 21 Januari ini. Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 8,982 calon menduduki peperiksaan itu di 128 pusat peperiksaan pada tahun lepas. Daripada jumlah itu calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan adalah seramai 2,130 orang, sekolah menengah agama negeri (4,703), sekolah menengah agama rakyat (705), calon persendirian (1,419) dan sekolah menengah swasta yang berdaftar dengan kementerian (25). "Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi manakala calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi jabatan pendidikan negeri tempat mereka mendaftar," katanya. Kementerian juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan peperiksaan STAM melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STAM jarak angka giliran dan hantar ke 15888. Perkhidmatan itu diaktifkan mulai 10 pagi pada 21 Januari dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Januari.-- Bernama