suria

Permohonan Pertukaran Guru Diperluas Ke Beberapa Negeri

- Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Permohonan pertukaran guru yang dibuka 15 hingga 25 Januari ini diperluas ke lapan lagi negeri bagi sekolah menengah dan empat negeri bagi sekolah rendah, berbanding hanya dua negeri yang diumumkan pada Selasa.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata bagi sekolah menengah, selain Sarawak dan Sabah yang masing-masing mencatat 613 dan 505 kekosongan perjawatan, permohonan untuk masuk atau keluar turut dibuka bagi Selangor (334), Johor (282), Kuala Lumpur (63), Melaka (36), Negeri Sembilan (16), Labuan (14) serta Pulau Pinang dan Perlis (lima).

Dalam sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata negeri lain yang mempunyai lebihan perjawatan hanya dibuka untuk permohonan keluar sahaja iaitu Kelantan (91), Kedah (62), Perak (60), Terengganu (35), Putrajaya (15) dan Pahang (satu).

Bagi sekolah rendah, katanya permohonan keluar atau masuk dibuka untuk Sarawak melibatkan 662 kekosongan perjawatan, Johor (508), Pulau Pinang (97), Melaka (59) dan Negeri Sembilan (21).

Negeri lain hanya dibuka untuk permohonan keluar iaitu Kedah (322), Sabah (250), Perak (212), Perlis (122), Selangor (65), Pahang (lapan), Kelantan dan Kuala Lumpur (lima), Labuan (tiga), Terengganu (dua) dan Putrajaya (satu).

Khair berkata keputusan mengenai permohonan pertukaran itu akan diumumkan pada pertengahan bulan depan.

Menurutnya sehingga September tahun lepas, terdapat 18,000 guru yang berpisah daripada pasangan di seluruh negara dengan 8,000 daripadanya memohon untuk bertukar dan 1,848 diluluskan untuk perpindahan pada Januari tahun ini.

"Kira-kira 4,500 pasangan adalah guru dengan guru. Bagi pasangan seperti ini mungkin lebih mudah kerana kedua-duanya boleh mencari titik pertemuan memohon bertukar ke satu negeri yang sama," katanya.

Khair berkata Jawatankuasa Khas Pertukaran Guru akan ditubuhkan tahun ini bagi meneliti kes-kes khas rayuan guru yang berpisah dengan pasangan untuk diberi pertimbangan.

Jawatankuasa itu yang diketuai oleh beliau sendiri akan mempertimbangkan penempatan pasangan guru di negeri atau daerah yang mempunyai kekosongan, kes sakit kronik (guru, pasangan, anak atau ibu bapa) dan ancaman keselamatan terhadap guru atau pasangan.

"Bagaimanapun, bagi kes ancaman keselamatan, kementerian tidak akan mempertimbangkan kes kecuaian atau kesalahan yang dilakukan guru itu sendiri misalnya berhutang atau dia mengancam orang lain," katanya.

Khair berkata mulai tahun ini kementerian juga akan melaksanakan operasi pertukaran guru tiga kali setahun iaitu pada Januari, April dan September.

"Bagaimanapun, bagi guru yang sedang mengajar kelas peperiksaan di tahun enam, tingkatan tiga dan tingkatan lima, permohonan tidak akan dipertimbangkan bagi sesi Januari dan April," jelasnya.

Selain itu, Khair berkata kementerian juga sedang mengkaji cadangan melahirkan lebih ramai "generalist teacher" iaitu guru-guru yang boleh mengajar pelbagai mata pelajaran di peringkat sekolah rendah.


"Langkah ini mampu memberi lebih ruang untuk pertukaran guru iaitu mereka boleh mengajar pelbagai mata pelajaran di peringkat rendah yang agak mudah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain