suria

Wanita, Majikan Bergelar 'Datuk' Cedera Lamborghini Terbabas Di LPT

Pemandu kereta mewah jenis Lamborghini Norfarahliya Daud, 26, dibawa keluar selepas dipercayai terbabas di KM 234.5 Lebuhraya Pantai Timur petang Rabu. Kereta itu dipercayai datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan telah hilang kawalan dipercayai akibat mengelak haiwan yang melintas. -fotoBERNAMA
KUANTAN: Seorang wanita dan majikannya cedera apabila kereta mewah Lamborghini yang dinaiki mereka terbabas di KM234.5 Lebuhraya Pantai Timur di sini, Rabu.

Ketua Trafik Pahang Supt Mohd Nor Yusof Ali berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 2.45 petang ketika hujan renyai semasa mereka dalam perjalanan dari  Kuala Lumpur ke Kuantan.

Beliau berkata kereta berkenaan dipandu jururunding wanita Norfarahliya Daud, 26, dan dinaiki majikannya Datuk Lawrence Ng Teck Hoong berusia dalam lingkungan 50-an.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mewah itu dipercayai hilang kawalan semasa cuba mengelak binatang yang melintas jalan.

"Ia menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kanan jalan, berpusing serta melanggar besi penghadang laluan tengah jalan," katanya ketika dihubungi di sini.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur cedera ringan dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini.

Mohd Nor berkata kenderaan mewah berwarna keemasan itu, yang dianggar bernilai lebih RM1 juta, turut mengalami kerosakan teruk.

Mereka hanya membuat laporan polis berhubung kemalangan itu di Balai Polis Trafik Kuantan malam tadi, katanya.

LPT, Mohd Nor Yusof Ali, Lamborghini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain