suria

KR1M Langkawi Bebas Cukai, Tawar Harga Lebih Murah

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan (kanan) memeriksa tanda harga air mineral di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Langkawi sambil diperhatikan oleh Pengurus KR1M Wilayah Utara, Asrul Affindy Hamidon (kiri). Turut hadir Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Langkawi, Shamnaziman Mohamed Taulan.

LANGKAWI: Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Langkawi, kedai pertama seumpamanya yang bebas cukai di Malaysia, akan meluaskan lagi pilihan rakyat tempatan memperoleh barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.

Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dan keputusan pemilik KR1M, MRT RETAIL Sdn Bhd, untuk menyerap kos pengangkutan membolehkan barangan keperluan berjenama 1Malaysia ini ditawarkan pada harga lebih rendah.

"Ini akan memberi kesan yang baik bukan sahaja kepada penduduk setempat, malah kepada pelancong-pelancong yang datang kerana mereka akan dapat menikmati harga yang lebih rendah seperti semasa berkunjung ke kedai makan atau restoran di sini," katanya, Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan KR1M di sini, yang merupakan cawangan ke-173, beliau berkata pembukaan kedai khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah itu adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada penduduk di Langkawi.

Berikutan perasmian itu, beliau berharap MRT RETAIL akan mempertimbangkan untuk mewujudkan KR1M baharu di kawasan Padang Matsirat dan Cenang di sini bagi membolehkan lebih ramai lagi rakyat mendapat manfaatnya.

Sementara itu, Pengurus KR1M Wilayah Utara, Asrul Affindy Hamidon berkata buat permulaan, hampir 4,000 jenis barangan ditawarkan di KR1M Langkawi dan jumlah ini akan ditambah berdasarkan permintaan semasa.

"Kita bersedia mempertimbang untuk menambah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia di Langkawi kerana objektif khusus kita adalah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah untuk mendapatkan barang keperluan pada harga lebih murah," katanya.-- Bernama


KR1M, Langkawi, Nor Saidi Nanyan

Artikel Berikut

Tiada Kenaikan GST - Najib

Artikel Lain