suria

Penganggur Dituduh Sebabkan Kecederaan Hingga Kematian Kanak-Kanak

KOTA TINGGI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Ahad atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak berusia lima tahun sehingga menyebabkan kematiannya September tahun lepas.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Tertuduh Mohd Hazwan Karim, 24, didakwa menampar muka Muhammad Danial Asyraff Abdullah, 5, beberapa kali sehingga kepalanya terhantuk dan mendatangkan kecederaan seterusnya kematian kepada mangsa di sebuah bilik di sebuah pusat perkhidmatan memandu, Jalan Mangga 2, Taman Kota Jaya, dekat sini, kira-kira pukul 2 hingga 2.30 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafiuddin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat, laporan DNA dan laporan kesihatan mangsa.

Majistret Mazana menetapkan tarikh sebutan pada 22 Februari ini.

Tertuduh tidak diwakili peguam bela. - BERNAMA

penganggur, kematian

Artikel Lain