DENGKIL: Sejumlah 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Redzuan hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Dato Ahmad Razali, di sini, malam Isnin. Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, bangunan dua tingkat yang menempatkan asrama dan dewan makan terbakar. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. Penjaga madrasah, Usamah Ishak berkata, ketika kejadian semua pelajar berusia antara lapan dan 18 tahun sedang menunaikan solat Isyak di Masjid As-Shariff yang berdekatan. "Kejadian itu disedari apabila saya balik dari masjid. Api merebak dengan cepat dan kami tidak sempat berbuat apa-apa. Pelajar-pelajar terpaksa tidur di masjid itu malam ini sementara menunggu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian. Sementara itu, Ketua Balai Bomba Cyberjaya, Penolong Kanan Penguasa, Izman Adnan berkata, dua jentera dan 18 anggota dikejarkan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada 9 pukul malam. "Asrama di tingkat atas musnah dan punca kebakaran masih dalam siasatan" katanya. - Bernama