KUALA LUMPUR: Hanya pindaan kecil akan dibuat kepada 26 undang-undang dan peraturan negeri serta Persekutuan berkaitan dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. "Tidak akan ada banyak pindaan dan sekiranya ada, ia sangat kecil. Lagipun, ia hanya akan melibatkan satu pekeliling yang telahpun dikenal pasti oleh Peguam Negara," katanya kepada pemberita pada majlis Export Day 2016, anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini, Selasa. Mustapa mengulangi bahawa Malaysia akan memuktamadkan pindaan tersebut yang termasuk peraturan buruh dan hak hartanah intelektual dalam tempoh masa dua tahun selepas memeterai perjanjian itu. Beliau juga mengesahkan perjanjian perdagangan itu kemungkinan besar akan dimeterai pada 4 Februari di New Zealand. Kandungan TPPA, serta, hasil daripada dua analisis kos dan manfaat akan dibentangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bermula 26 Januari. Perjanjian itu memerlukan kelulusan Parlimen sebelum disahkan.