PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah reman selama empat hari untuk menahan reman empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah perlombongan bauksit di Pahang. Majistret Eric Lau mengeluarkan perintah reman itu terhadap empat individu termasuk seorang wanita yang dikatakan seorang pekerja di sebuah syarikat perlombongan, bermula hari ini sehingga Ahad ini. Tiga individu lain adalah seorang ahli perniagaan yang juga merupakan bekas pegawai kanan di Jabatan Mineral dan Geosains, Pahang, seorang peguam dan seorang pegawai kanan Jabatan Mineral dan Geosains, Pahang. Mereka berusia antara 34 tahun sehingga 42 tahun ditahan semalam di ibu negara dan di Kuantan, Pahang. Menurut peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili ahli perniagaan dan peguam itu, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM berhubung dakwaan menggunakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu. Turut mewakili ahli perniagaan dan peguam itu ialah peguam Muhammad Hisham Abdul Rahim manakala yang lain tidak diwakili peguam. Mereka yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan digari dibawa ke mahkamah lebih kurang pada pukul 9.30 pagi.-- Bernama