suria

"Amat Malang Jika Agenda Peribadi Motif Gulingkan Mukhriz" - Muhyiddin

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan berikutan cubaan kepimpinan Umno Kedah untuk menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar yang mungkin bermotifkan agenda peribadi pihak tertentu.

Justeru, Timbalan Presiden Umno itu memberi amaran bahawa Umno bakal berhadapan perpecahan dalaman yang semakin ketara jika tindakan seumpama itu diteruskan.

"Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu dan bukannya atas kepentingan rakyat, maka ini adalah sesuatu yang amat malang.

"Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang," katanya menerusi kenyataan media pada Khamis.

Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat daripada kerajaan pada Julai tahun lalu menyifatkan krisis politik di Kedah sebagai jelik dan memalukan.

"Saya amat kesal kerana dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan," katanya.

Pada petang Rabu, sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Umno Kedah menyuarakan pendirian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.

Desakan itu diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi parti negeri itu yang diadakan tanpa kehadiran Mukhriz.

Artikel Berikut

Filem Khas Untuk Guru

Artikel Lain