ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir meminta semula rakyat Kedah supaya bertenang dan bersabar serta mendoakan yang terbaik. "Selagi rakyat Kedah mahukan saya, selagi itulah saya akan terus berkhidmat," katanya sebelum meninggalkan perkarangan Ibu Pejabat Umno Kedah di Bangunan Tunku selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan beberapa pemimpin Umno Bahagian Jerlun di sini, Rabu malam. "Allah akan bersama kita selagi kita ikhlas dengan perjuangan. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita. Apa juga kejadian yang berlaku tentunya ada hikmah untuk kita. "Percayalah sesuatu yang baik akan sampai kepada kita," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 penyokongnya yang berkumpul sejak 8 malam tadi. Pada petang Rabu, hampir kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota Parlimen Umno Kedah telah menyuarakan hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.