suria

Thailand Hantar Dua Pakar Kaji Serpihan Di Selatan Thailand

BANGKOK: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Thailand akan menghantar dua pakar ke wilayah Nakhon Si Thammarat pada Isnin untuk menganalisis lebih lanjut serpihan disyaki dari bangkai pesawat yang dijumpai di wilayah di selatan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Amphawan Wannako berkata jabatan itu dengan bantuan pegawai Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) juga akan menerbangkan serpihan tersebut ke ibu negara di sini esok.

"Selain kedua-dua pakar kami yang akan berada di Nakhon Si Thammarat esok, kami juga akan dibantu oleh pakar-pakar RTAF bagi pemeriksaan dan mengangkut serpihan ke Bangkok," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Beliau berkata proses mengangkut serpihan itu disyaki milik pesawat kemungkinan besar akan dilakukan oleh pesawat Hercules C-130 milik RTAF ini.

Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pantai di wilayah selatan negara itu pada Sabtu melaporkan mengenai penemuan objek logam besar, berukuran dua meter lebar dan tiga meter panjang, dipercayai milik sebuah pesawat.

Penemuan serpihan tersebut, dekat pantai di selatan Thailand, mendorongmedia negara itu membuat spekulasi bahawa serpihan yang dipercayai dari bangkai pesawat mungkin ada kaitan dengan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata bahawa belum ada pengesahan bahawa serpihan sisa pesawat yang dijumpai diselatan Thailand adalah milik MH370.

Bagaimanapun, susulan penemuan tersebut, beliau telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman untuk menghubungi pihak berkuasa Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut dan pengesahan.

Sementara itu, Amphawan berkata, walaupun telah melihat foto serpihan dipercayai dari pesawat yang dijumpai di selatan Thailand, beliau tidak dapat menentukan sama ada serpihan tersebut sebenarnya berasal dari pesawat awam atau tentera.

"Pakar-pakar perlu memeriksa dengan teliti objek itu sebelum membuat kesimpulan," katanya.

Sementara itu, pegawai polis daerah Pak Phanang, Sub Leftenan It Paijit Pongkaew memberitahu Bernama, tiga pegawai RTAF dari pangkalan di selatanThailand telah memeriksa serpihan tersebut tetapi tidak mendedahkan apa-apa maklumat.

"Mereka tidak memberitahu apa-apa tentang serpihan itu," kata beliau.-Bernama

Bangkai pesawat, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan