suria

Viral: Restoran Popular Nafi Hidang Stik Berharga Hampir RM20,000 Di Rumah PM

PETALING JAYA: Restoran stik popular menyangkal gambar viral yang mendakwa restoran itu telah menghidangkan daging lembu Wagyu berharga ribuan ringgit di rumah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Me'nate Steak Hub berkata selepas membuat pemeriksaan, ia mendapati bahawa harga yang tertera di dalam gambar itu iaitu RM19,284.80 adalah palsu kerana ia tidak berada dalam sistem inventori restoran itu.

"Tanda harga serta nota berikut semacam dirancang untuk dipamerkan itu tidak sama dengan tanda harga standard yang digunakan oleh Me'nate Steak Hub di semua outlet kami ditambah pula semua tanda harga kami mempunyai barcoding yang tersendiri berbeza dengan apa yang telah diviralkan.

"Hidangan yang dipamerkan juga tidak masuk akal. Jika makan steak dan Matsusaka manakan boleh ada nasi dan lauk lauk lain. Gambar tukang masak juga bukan Chef dari Me'nate," katanya dalam satu kenyataan.

Gambar yang menunjukkan sekeping resit yang dikatakan dari Me'nate Steak Hub tersebar di media sosial.

Di dalam gambar, resit itu diletakkan bersebelahan dengan kertas arahan penyediaan makanan bagi kediaman rasmi Najib di Sri Perdana pada 21 Januari lalu.

Arahan itu menunjukkan arahan penyediaan 2kg daging lembu Wagyu Matsusaka dan perapan sayur-sayuran, kentang goreng dan buah-buahan.

Terdapat juga gambar yang dilampirkan menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang dihidangkan oleh seorang lelaki yang memakai pakaian chef.

"Kami berasa amat amat dukacita dengan usaha pihak-pihak yang berkepentingan politik untuk mengheret kami ke dalam kancah politik fitnah yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Restoran stik ini juga tidak teragak-agak untuk menyaman mereka yang menyebarkan fitnah dan pembohongan.

"Pihak kami sedang merancang serta sedang mendapatkan nasihat peguam kami dan sedang di dalam proses untuk menasihatkan kami akan bentuk tindakan undang-undang yang sesuai diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kepalsuan dan fitnah ini.

"Jika perkara ini tidak dihentikan dan berterusan kami tiada pilihan lain selain daripada membuat laporan polis seterusnya mengambil tindakan susulan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain