suria

Dua Pelajar Malaysia Yang Cedera Akan Dipindah Ke Amman - Wisma Putra

Wisma Putra
KUALA LUMPUR: Urusan pemindahan dua pelajar Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya dari hospital kerajaan Mafraq ke Amman,  sedang diuruskan Kedutaan Besar Malaysia di Jordan dengan kerjasama kementerian kesihatan negara itu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, dua pelajar itu Fatin Nor Syahirah Ramli dan Izam Hasif sedang menerima rawatan awal di hospital tersebut setelah terbabit dalam kemalangan yang membabitkan kenderaan yang mereka pandu dan naiki di Safawi, tidak jauh dari bandar Mafraq pagi semalam waktu tempatan.

Tiga rakan mereka iaitu Fatin Ikmal Izyani Che Aziz, Hana' Azaha dan Al Najiatun Nailah Mohd Shafie maut dalam kejadian itu apabila kereta mereka dilapor dilanggar sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Menurut Wisma Putra, kesemua mereka merupakan pelajar tahun tiga Universiti Mutah yang terletak 143 kilomter dari selatan Amman.


"Kesemua waris pelajar telah dihubungi dan urusan berkaitan sedang diatur oleh pihak kedutaan," menurut kenyataan itu.

Wisma Putra yang mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa turut menghargai kerjasama dan bantuan yang diberikan kerajaan Jordan terutama  menteri pengajian tinggi dan penyelidikan, menteri kesihatan Jordan, universiti Mu'tah, universiti Al Albayt, hospital kerajaan Mafraq, polis trafik Mafraq, Persatuan Pelajar Malaysia Mutah (PERMATA), Persatuan Pelajar Malaysia Mafraq (PRISMA) serta pelajar Malaysia di Mutah, Mafraq dan Irbid.

Artikel Lain