suria

Penunggang Maut Dirempuh Alza Langgar Lampu Isyarat

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Tanjung Aru, di sini pagi Ahad.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi itu, Mohd Ashadi Abd Karim, 32, meninggal dunia di tempat kejadian setelah tercampak atas permukaan jalan.

"Ketika kejadian, mangsa dipercayai dari arah bulatan Sembulan menuju ke pusat bandar. Apabila sampai di lampu isyarat Tanjung Aru, mangsa meneruskan perjalanan kerana lampu isyarat bertukar hijau, namun tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Perodua Alza," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, pemandu kereta berkenaan terus melarikan diri dan meninggalkan lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan kecuaian pemandu kerana memandu dengan melulu dan mengabaikan isyarat lalu lintas," katanya.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Alza, Sabah

Artikel Lain