suria

Hal Remeh Yang Tidak Diperlukan

ERTI munasabah semakin hilang sejak beberapa tahun yang lalu lantaran masyarakat kita begitu cepat melatah dalam mendepani hal-hal yang mengarut. Bagi sesebuah negara yang mempunyai banyak undang-undang untuk mengawal sikap rakyatnya, kita begitu obses untuk memastikan setiap orang menurutinya.

Bagi sesetengah individu pula, undang-undang digunakan bukan sahaja untuk menghukum tetapi dijadikan sebagai pengajaran atau teladan bagi orang lain. Sementara bagi sesetengah individu lain, undang-undang itu tidak terpakai kepada mereka dan kita membiarkan golongan ini berbuat sesuka hati di negara ini.

Ada juga yang mengabaikan perintah mahkamah atas alasan wujudnya konflik antara dua bidang kuasa undang-undang dan saya sendiri hairan bagaimana individu sebegini tidak didakwa atas tuduhan menghina mahkamah. Namun, saya tidak perlu menjadi peguam untuk menyimpulkan bahawa situasi ini amatlah pelik.

Sementara itu, terdapat golongan yang menggunakan undang-undang untuk menafsir dan melakukan perkara yang berlainan dengan undang-undang tersebut. Sebagai contoh, golongan ini membuat andaian bahawa bapa adalah satu-satunya penjaga bagi kanak-kanak justeru kata-kata bapa sahaja yang diambilkira oleh undang-undang. (kepada para pelajar yang saya terangkan makna diskriminasi gender, inilah salah satu contohnya).

Dan ada juga yang mewujudkan undang-undang sendiri kerana ia wujud dalam fikiran mereka sendiri. Misalnya salah seorang ibu bapa beragama Islam memberitahu bahawa anak mereka yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina terpaksa dipisahkan oleh guru matapelajaran agama daripada duduk semeja dengan kawan-kawan sekolah yang berlainan agama meskipun terdapat makanan halal di kantin sekolah tersebut.

Apakah guru tersebut berpendapat bahawa bau makanan tidak halal itu boleh dicium oleh pelajar-pelajar itu jika tidak dipisahkan daripada duduk semeja dengan pelajar bukan beragama Islam?

Saya pasti ada yang berpendapat bahawa kanak-kanak itu mempunyai kecenderungan untuk berkongsi makanan dan bekas makanan justeru ada kemungkinan besar mereka boleh ‘terjamah’ makanan tidak halal itu.

Sudah tentu, berkongsi makanan halal juga tidak menjamin kebersihan seratus peratus maka ibu bapa juga perlu mengajar anak-anak mereka untuk tidak berkongsi makanan sebegini.

Memikirkan kembali kisah ini, saya menyedari bahawa sifat munasabah semakin lama semakin hilang sejak kebelakangan ini. Ada golongan yang cepat melatah dan histerikal terhadap hal-hal yang mengarut dan remeh temeh.

Hal-hal sebegini sudah tentu tidak dapat dipisahkan dengan kisah palsu mengenai DNA khinzir yang terdapat di dalam coklat satu ketika dahulu. Oh, sudah tentu juga tidak dapat dilupakan mengenai obses terhadap lambang salib yang ada di mana-mana.

Jika anda tinggal di dalam rumah yang mempunyai seakan-akan lambang salib di atapnya, ada kemungkinan anda akan menukar agama semudah anda menukar pakaian. Saya sangat takjub betapa sukarnya orang Islam untuk mengajak orang lain memeluk Islam tetapi apa yang diperlukan untuk orang Islam menukar agama ialah dengan hanya memandang lambang salib, patung, mendengar lagu dan meneguk air.

Bahkan, saya pernah diberitahu bahawa seseorang itu bisa menukar agama dengan hanya melihat mata Pope! Seperti kepercayaan kita sangat rapuh dan mudah digugat dengan apa sahaja ‘dakyah’ dan anasir yang dibawa oleh orang bukan Islam.

Selama 12 tahun saya belajar di sekolah Convent di mana lambang salib boleh dilihat di mana-mana termasuklah satu lambang salib besar yang dipasang di atap sekolah. Dan tidak ada seorang pun pelajar Muslim di situ yang menukar agama. Barangkali, generasi saya lebih kuat pegangan agamanya berbanding generasi kini.

Saya hairan mengapa kita tanpa segan silu mengaku bahawa pegangan agama kita sangat lemah lantas ia harus dipertahankan setiap masa. Sementara itu, mereka yang bukan beragama Islam pula kelihatannya tidak memiliki masalah yang sama.

Saya sering bercerita dengan warga asing yang lebih muda daripada saya tentang agama Islam di Malaysia dan setakat yang saya tahu, tiada seorang pun antara mereka yang memeluk Islam kerana mendengar cerita saya (kerana kepercayaan mereka kuat).

Tetapi, kemungkinan besar saya telah  membuang stereotaip tertentu mengenai orang Islam terutama kurangnya sifat suka berjenaka.
 
Barangkali,logik juga bukanlah kekuatan yang dimiliki oleh orang Islam. Saya berkesempatan menonton video bagaimana lelaki berpakaian seragam menerangkan kepada ahli-ahli akademik tentang bagaimana mengesan ciri-ciri pengganas.

Beliau bercerita bagaimana akidah para pengganas yang sudah terpesong serta pendekatan secara literal dalam membaca Al-Quran.

Saya fikir beliau telah memberi satu taklimat yang bagus sehinggalah beliau tiba-tiba memberi contoh yang aneh yakni orang yang paling progresif di negara ini dianggap sebagai paling berbahaya!

Sifat tidak logik ini amatlah mengagumkan kerana saya fikir mungkin si pengganas juga keliru dengan taklimat tersebut kerana contoh-contoh yang diberi bukanlah orang yang popular dengan imej-imej yang ganas dan suka memenggal kepala.

Di samping itu, kumpulan pengganas yang melakukan kekecohan di Syria juga menafikan hak wanita. Justeru, adakah logik untuk menganggap golongan yang memperjuangkan hak wanita sebagai pengganas?

Mungkin, pendekatan tidak logik dan mengarut ini dilakukan dengan sengaja memandangkan masyarakat kita pula sangat menghormati individu yang mempunyai kuasa dan kedudukan. Mungkin apabila mereka berkata yang hitam itu kini sebenarnya putih dan yang baik itu kini  buruk lantas kita akan percaya bulat-bulat.

Pendekatan ini seolah-olah membuat anggapan bahawa masyarakat kita ini tidak begitu cerdik dan mempunyai nilai-nilai yang rapuh. Tetapi, nampaknya pendekatan ini berhasil.

Mungkin, pada akhirnya, cara kita diperintah ini sahajalah yang masuk akal.

Convent, Syria, Islam, halal, DNA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain