suria

Pegawai Polis Wanita Lepaskan 'Kasanova' Dipenjara Tiga Tahun

GEORGE TOWN: Pegawai kanan polis wanita yang didakwa melepaskan seorang tahanan dikenali 'kasanova', dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini Jumaat selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan.

Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar menjatuhi hukuman itu terhadap ASP L.

Chandkumary, 59, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan K.Prabaharan, 49, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Oktober 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dianne Ningrad kemudian menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua, serta memerintahkan semua hukuman berjalan serentak mulai Jumaat.

Terdahulu, peguam Dr N.Ahilan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman Chandkumary atas alasan latar belakang dan prestasi kerjanya sepanjang perkhidmatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib kemudiannya membantah dan memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang maksimum.

"Tertuduh sangat berpengalaman dalam PDRM dan dia tidak sepatutnya melakukan jenayah seperti ini. Kesalahan ini turut mencemarkan nama PDRM. 

Hukuman penjara mesti dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat dan anggota serta pegawai PDRM yang lain," katanya.

Ahilan yang ditemui pemberita berkata pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi. - BERNAMA

pegawai polis, kasanova

Artikel Lain