NEGARA Kuwait akan menyambut ulangtahun hari kemerdekaannya Februari ini. Secara tradisinya, Kuwait merayakan Hari Kebangsaannya pada 25 Februari setiap tahun. Walau bagaimana pun mengikut fakta sejarah, Kuwait memperolehi kemerdekaannya dari jajahan British pada bulan Jun 1961. Namun 25 Februari dipilih kerana menghormati bekas pemimpin Kuwait Sheikh Abdullah Al Salem Al Sabah yang menaiki takhta sebagai pemimpin era moden negara itu pada 25 Februari 1950. Sesuatu yang menarik mengenai Kuwait ialah, ia turut menyambut Hari Pembebasannya (Liberation Day) pada 26 Februari. Kuwait telah dibebaskan dari penaklukan tentera Iraq pada 26 Februari 1991. Oleh yang demikian, Kuwait merayakan dua hari yang bersejarah setiap tahun pada dua hari berturut-turut iaitu pada 25 dan 26 Februari untuk memperingati masing-masing Hari Kebangsaan dan Hari Pembebasan. Tahun ini, Kuwait akan menyambut ulangtahun yang ke-55 kemerdekaannya dan juga ulangtahun yang ke-25 pembebasannya. Di Kuwait, persiapan untuk menyambut cuti ulangtahun kemerdekaan dan pembebasan bermula awal bulan Februari dan ada kalanya pada penghujung bulan Januari juga. Cuti tersebut dipanggil HALA FEBRUARI iaitu kebanyakan sekolah akan mengambil kesempatan untuk bercuti pertengahan penggal selama seminggu bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah turut sama merayakan hari yang dianggap penuh bermakna oleh rakyat Kuwait. Kedai-kedai perniagaan turut mengadakan jualan murah dan potongan harga mengambil kesempatan cuti tersebut. Lima tahun yang lalu, sebagai hadiah kepada rakyat Kuwait sempena ulangtahun kemerdekaan dan pembebasan yang ke-50 dan yang ke-20, pemerintah Kuwait telah mengumumkan pemberian anugerah wang tunai sebanyak KWD1,000 untuk setiap seorang warganya. Anugerah tersebut diberi kepada semua warga Kuwait yang layak, baik bayi yang berumur satu hari. Adalah difahamkan beberapa wanita warga Kuwait yang hamil dikatakan cuba mempercepatkan (induce) kelahiran anak masing-masing demi untuk melayakkan diri mendapatkan anugerah wang tunai KWD1,000 tersebut! Bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai lima hingga enam orang ahli memperolehi sumbangan wang tunai KWD6,000 saguhati dari Kerajaan! Sayugia diingatkan, hasil dari jualan minyak, matawang Kuwait ia itu Dinar Kuwait adalah di antara matawang yang paling mahal di dunia. KWD1 kini bersamaan dengan RM14. Tidak cukup dengan anugerah KWD1,000 untuk setiap kepala warga Kuwait, pemerintah negara itu juga mengeluarkan boucher kepada setiap keluarga yang melayakkan mereka menebus beberapa barangan makanan asas dari pasar raya koperasi tempatan selama setahun, sehingga akhir Mac 2012. Barangan asas tersebut terdiri daripada beras, roti, gula, tepong dan susu. Setakat ini, masih belum ada khabar sama ada warga Kuwait bakal menikmati anugerah dari pemerintah bagi meraikan hari-hari Kebangsaan dan Pembebasan yang ke-55 dan ke-25 sebagaimana yang diperolehi lima tahun yang lalu. Tetapi dengan harga minyak yang tidak stabil, ada kemungkinan juga andainya tiada langsung hadiah buat warga Kuwait tahun ini. Di Kuwait, kebanyakan barang keperluan diperolehi dari pasar raya tempatan yang secara popularnya dipanggil “Jam’eya”, iaitu perkataan Arab yang bermaksud ‘Persatuan’. Pasar raya ini wujud di setiap daerah dan diuruskan oleh sebuah koperasi. Nama penuh sesebuah pasar raya dipanggil mengikut nama daerah. Sebagai contoh, sebuah daerah bernama Mansoriya akan mempunyai Jam’eya Mansoriya Ta’awaneya. “Ta’awaneya” adalah perkataan Arab yang bermaksud Kerjasama. Secara tradisi, warga Kuwait melakukan pembelian barangan keperluan mereka dari pasar raya koperasi ini sejak bertahun-tahun yang lalu. Namun, sesuai dengan peredaran zaman dan permintaan pengguna, selain dari pasaraya pasar raya koperasi, hari ini terdapat juga pasar raya lain yang bertapak di Kuwait. Jenama seperti "Lulu", "Grand Hyper", "Sultan Centre", "City Centre", "Gēant" dan juga "Carrefour" kini turut bersaing untuk mendapatkan perhatian dari pembeli yang bermastautin di Kuwait untuk memberi sedikit saingan buat pasaraya “Jam’eya”. ABU FARIS, 53, dilahirkan di Terengganu tetapi bersekolah di Petaling Jaya dan selepas itu Kolej Melayu Kuala Kangsar. Beliau adalah lulusan perakaunan dari London dan kini menetap di Kuwait. Ini adalah artikelnya yang pertama untuk mStar.