PETALING JAYA: Langkawi sekali lagi mencipta nama di arena global; kali ini dalam dunia kosmetik. Pengiktirafan global ini adalah untuk hasil kerja Paul Penders di mana produk kosmetiknya memenangi empat anugerah antarabangsa di majlis anugerah Beauty with a Conscience kali ke-7, anjuran majalah edaran Amerika Syarikat, Natural Solutions. Syarikat kosmetik beliau telah beroperasi di Langkawi sejak tahun 2003. Ia adalah satu lagi pencapaian besar Langkawi apabila hanya beberapa bulan lalu, Langkawi Geopark telah diterima sebagai ahli penuh dalam Global Geoparks Networks (GGN). "Pengedar kami di Amerika Syarikat menghubungi saya dan memberitahu bahawa syarikat saya telah memenangi empat anugerah," kata Penders. Penders, yang syarikatnya dinamakan sempena namanya sendiri berkata ini adalah kali pertama syarikatnya memenangi empat anugerah pada majlis itu berbanding satu anugerah pada tahun 2008 dan 2009. Empat produk yang memenangi anugerah itu dipilih daripada beribu-ribu produk dalam kategori berasingan iaitu Gincu Asli Mulberry, Krim Pembersih Pencerah Sunflower, Losyen Lelaki Best Aftershave dan Syampu Bayi Asli. Keempat-empat ini dipilih daripada ribuan produk yang telah dinilai majalah itu yang kebanyakannya buatan Amerika, kata pemuda dari Belanda itu. Penders berkata produk botaninya telah dikilangkan di Kangar. "Herbanya datang dari Unesco Global Geopark Pulau Langkawi. "Ia ditanam secara organik di Ocean Residence, resort hartanah tepi pantai kita sendiri," katanya.