IPOH: Semua kementerian perlu lebih berhemat dalam melaksanakan perbelanjaan mengurus dan pembangunan masing-masing sejajar langkah pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan baru-baru ini. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata ada kementerian yang dikurangkan perbelanjaan mengurus sebanyak dua dan lima peratus. Malah, antara keputusan itu termasuk menetapkan kakitangan tidak lagi menggunakan kemudahan penerbangan kelas pertama bagi menghadiri program di luar negara. "Dalam mesyuarat Kabinet semalam, kita minta setiap kementerian memastikan perbelanjaan yang kita (Kementerian Kewangan) putuskan, dapat dilaksanakan dengan sebegitu berhemat. "Bila kita (Kementerian Kewangan) minta mereka (kementerian lain) kurangkan (perbelanjaan) bermakna itulah juga yang kita kena buat. Ini termasuk memutuskan bahawa semua kakitangan (kementerian) yang hadir mesyuarat di peringkat dunia tidak lagi menggunakan (kemudahan) penerbangan kelas pertama," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya, di sini Sabtu. Mengulas lanjut, Ahmad Husni menegaskan pengurangan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM5 bilion itu tidak akan menjejaskan pelaksanaan projek yang proaktif serta kritikal. "Kita percaya kemantapan pembangunan akan berterusan dan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat akan terus dilaksanakan," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan ekonomi negara tahun ini terus berkembang secara realistik sebanyak 4 hingga 4.5 peratus selain sasaran defisit fiskal 3.1 peratus serta kadar hutang negara akan terus berkurangan dengan tidak melebihi paras berhemat 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Selain itu, mengulas dakwaan ada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih belum menerima bantuan itu, Ahmad Husni berkata usaha itu disalurkan secara berperingkat. "Saya percaya tiada masalah bagi pemberian. Pemohon juga boleh menyemak dengan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) sama ada nama mereka tersenarai atau tidak. Bantuan itu juga diberi melalui dua kategori iaitu akaun bank serta sistem baucar," katanya.