PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengingatkan pengusaha bas untuk memantau dengan teliti dan mendisiplinkan pemandu mereka bagi memastikan perkhidmatan berkualiti diberikan kepada penumpang pada setiap masa. Arahan itu dibuat susulan klip video yang menjadi viral membabitkan pemandu bas ekspres yang didakwa naik angin dan bertindak memukul dua penumpang kerana tidur di kerusi rehatnya semasa dalam perjalanan pulang ke Melaka dari Pulau Pinang. Menerusi video berkenaan, dua mangsa yang berumur 35 dan 41 tahun telah dipukul beberapa kali dengan selipar, malah ditampar serta ditendang oleh pemandu bas terbabit. Ketika dalam perjalanan, dia juga menggunakan bahasa yang kasar untuk memarahi mereka di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan. Salah seorang mangsa, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata dia dan rakannya telah memohon maaf kepada pemandu itu kerana tindakan mereka tidak disengajakan. "SPAD ingin merakamkan kekesalan terhadap penumpang yang terlibat kerana terpaksa berhadapan dengan satu pengalaman yang menakutkan semasa perjalanan mereka," katanya menerusi kenyataan pada Ahad. SPAD berkata ia memandang serius perkara itu dan telah berhubung dengan penumpang terbabit untuk merakamkan kenyataan. Menurut kenyataan itu, penumpang berkenaan membuat laporan polis pada 28 Januari lalu di Balai Polis Melaka Tengah atas nasihat SPAD. "SPAD akan membantu PDRM dengan memberikan maklumat yang diperlukan membabitkan pemandu dan pengendali bas ekspres. "Ia supaya tindakan tegas dan pantas dapat diambil terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab itu. "SPAD juga telah mengarahkan pengendali bas ekspres yang terlibat dalam kes itu untuk menghadiri siasatan pada 1 Februari," katanya.