suria

Pertemuan Jemaah Pemangku Sultan Kedah-Adun BN Tamat Lebih Awal

Mukhriz (dua dari kiri) mengiringi Tunku Temenggong menaiki keretanya selepas pertemuan dengan wakil rakyat BN di Wisma Darul Aman, Isnin.

ALOR SETAR: Pertemuan antara Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selesai dalam masa kurang tiga jam.

Pengerusi jemaah berkenaan, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman pada pukul 5.25 petang, Isnin di mana pertemuan itu diadakan.

Tunku Sallehuddin dilihat berjalan ke keretanya sambil diiringi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Kedua-duanya meninggalkan Wisma Darul Aman menaiki kereta masing-masing pada masa sama menggunakan laluan di tepi bangunan itu bagi mengelak media.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dilihat meninggalkan bangunan pada kira-kira pukul 6 petang.

Wakil media bergegas ke arah kenderaan yang membawa Ahmad Bashah untuk mendapatkan komennya, bagaimanapun kenderaan itu berlaku tanpa beliau menurunkan cermin tingkap.

Pada pukul 6.15 petang, Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail meninggalkan bangunan sama dengan hanya melambai ke arah wakil media, tetapi masih enggan memberi sebarang komen kecuali memberitahu beliau kepenatan dan mahu pulang berehat.

Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz dan konvoi pula dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman pada pukul 6.20 petang.

Tiada sebarang pengumuman dibuat dan setakat ini tidak diketahui situasi sepanjang pertemuan kedua-dua pihak berlangsung.

Artikel Lain